|
Pengerusi Kelab UMNO Kanada, Encik Zainuddeen Abdul Aziz telah membuat kunjungan hormat ke atas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Kanada, Tuan Yang Terutama Encik Selwyn Vijayarajan Das pada Hari Khamis, 3hb Disember, 2009. Kunjungan tersebut dibuat berikutan jemputan yang dihulurkan oleh TYT Pesuruhjaya Tinggi kepada Pengerusi Kelab UMNO Kanada (KELAB) baru-baru ini. Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira dua jam itu, Pengerusi KELAB telah berpeluang berbincang pelbagai perkara menyentuh perjalanan dan aktiviti KELAB, persepsi rakyat Malaysia khususnya pelajar-pelajar Malaysia di Kanada terhadap kerajaan, kerjasama serta bantuan yang boleh diberikan oleh Suruhanjaya Tinggi terhadap KELAB pada masa depan, dan juga perancangan masa depan KELAB dari sudut usaha bagi membantu meningkatkan lagi imej Malaysia di Kanada.
Pengerusi KELAB juga turut menerangkan beberapa program serta inisiatif yang telah dirancang untuk dilaksanakan oleh KELAB pada tahun depan, khususnya dari sudut untuk menjadikan KELAB sebagai wadah bagi kegiatan para pelajar dan masyarakat Malaysia di Kanada. Selain itu, Pengerusi KELAB juga turut memaklumkan mengenai usaha KELAB ke arah meramaikan keahlian serta masalah-masalah yang dihadapi oleh KELAB seperti halangan-halangan yang dilalui dalam usaha untuk meramaikan keahlian. Antara halangan utama tersebut ialah adanya sikap kebanyakan pelajar yang cenderung dalam mentafsirkan bahawa sebagai pelajar mereka perlu berkecuali dan tidak harus menyertai sebuah persatuan yang mempunyai hubungan dengan politik. Sehubungan ini, Pengerusi KELAB telah menyatakan harapan agar pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia dapat membantu khususnya dari sudut memupuk keyakinan serta kesedaran di kalangan pelajar Melayu di sini terhadap kebaikan bagi mereka untuk menyertai Kelab UMNO Kanada. Ini kerana hanya melalui penyertaan di dalam KELAB sahajalah para pelajar akan mendapat perspektif yang betul terhadap kerajaan dan negara, selain pergerakan serta aktiviti mereka sendiri akan dapat diselaraskan dengan sempurna secara yang dapat membantu meningkatkan prestasi serta imej semua pihak, diri mereka sendiri dan juga nama baik negara. Di akhir perjumpaan Pengerusi KELAB telah menghadiahkan sebuah Momento “UMNO Kanada” kepada TYT Pesuruhjaya Tinggi sebagai tanda kenang-kenangan. |